KUANTAN: Pasukan penyelamat dan sukarelawan dari Pahang akan segera ke kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail: “Saya menerima perkhabaran berita yang mengejutkan mengenai tragedi tanah runtuh yang di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor.
“Susulan kejadian itu, saya mengarahkan pasukan penyelamat dan sukarelawan dari Pahang untuk segera ke kawasan tragedi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdy menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati untuk mengadakan sebarang aktiviti perkhemahan sama ada di kawasan tanah tinggi atau di berhampiran sungai.
Katanya, pada masa sama, aktiviti itu dilakukan pada musim tengkujuh bagi mengelakkan kejadian buruk daripada berlaku.
“Saya berdoa semoga kita semua dilindungi oleh Allah SWT daripada sebarang bentuk musibah dan malapetaka,” katanya.
Sehingga 10.16 pagi ini, lapan disahkan maut manakala 60 mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh itu. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN