KUANTAN: Pahang bersedia untuk menjadi hab makanan halal antarabangsa, kata YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Industri makanan halal mempunyai peluang yang sangat besar. Malah, pasaran domestik Malaysia sahaja sudah cukup kukuh kerana majoriti penduduknya adalah Islam.
“Justeru, usahawan perlu menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan di Taman Halal Pahang untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Pada masa sama, saya turut berharap Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) akan membantu meningkatkan lagi promosi Taman Halal Pahang supaya lebih ramai pelabur dapat mengenali Pahang sebagai hab halal antarabangsa,” katanya pada majlis perasmian penutup Jelajah Halal Malaysia (JHM) 2022 Pahang, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau itu dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman yang mewakili YAB Menteri Besar. Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HDC, Hairol Ariffien Sahari.
Wan Rosdy menjelaskan, matlamat utama program JHM 2022 adalah untuk menggalakkan penyertaan usahawan dalam perniagaan halal.
Katanya, JHM 2022 juga menjadi tempat untuk membantu usahawan mendapatkan maklumat berkaitan industri halal, bantuan kewangan Islam dan takaful, pematuhan berkaitan pensijilan halal serta informasi mengenai pembangunan dan latihan halal.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN