Pahang Hiking Day gamit lebih seribu peserta

Pahang Hiking Day gamit lebih seribu peserta

KUALA LUMPUR: Lebih seribu peserta dijangka memeriahkan Pahang Hiking Day yang akan diadakan serentak di semua daerah di Pahang, Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata acara itu bertujuan mempromosikan lokasi aktiviti pendakian dan merancakkan semula industri pelancongan.

Beliau berkata, kecuali Gunung Tahan, lokasi lain yang dipilih mempunyai kesukaran pendakian yang sederhana dan tidak mengambil masa yang lama untuk sampai ke puncak.

“Acara ini adalah pendakian santai bertujuan untuk mempromosikan bukit yang terdapat di Pahang dan menggalakkan rakyatnya mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya dalam sidang media di Laman Media, di WTCKL, di sini, hari ini.

Beliau berkata, struktur muka bumi dan alam sekitarnya membuatkan Pahang memiliki pelbagai tarikan, termasuk 79 bukit dan 2,044 sungai yang boleh diteroka di Pahang. 

“Selain itu, Pahang juga mempunyai 26 Taman Eko-Rimba dan Hutan Taman Negeri (Taman Negeri Rompin dan Taman Negeri Cameron Highlands) yang menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi keluarga dan peminat aktiviti luar,” katanya. 

Katanya, Pahang menerima 2,210,680 pelancong walaupun negara kita dilanda pandemik Covid-19 berdasarkan statistik data kehadiran pelancong ke Pahang pada 2021.

“Melalui acara ini, semestinya kemasukan pelancong ke negeri bertuah ini akan bertambah terutamanya selepas negara memasuki Fasa Endemik Covid-19 pada           1 April depan,” katanya. – HUSIN IBRAHIM