Pahang inginkan semua penduduknya divaksin

Pahang inginkan semua penduduknya divaksin

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) kini berusaha mengesan golongan tercicir melalui program outreach di seluruh negeri ini bagi memastikan semua penduduk menerima suntikan vaksin Covid-19. 

Ini berikutan sebahagian penduduk negeri ini yang mendiami kawasan pedalaman, tidak mempunyai kemudahan teknologi dan tiada kenderaan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV). 

Pengarahnya, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus berkata, 85 peratus populasi dewasa di Pahang sudah mendapat suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

“Tapi, kita yakin masih ada lagi mereka yang tercicir. Mereka kemungkinan tidak mendaftar disebabkan ada masalah seperti kekangan teknologi, berada di kawasan pedalaman dan ketiadaan talian telefon.

“Kita akan berusaha mencari  dan mendekati mereka yang tercicir menerusi program outreach. Kita ingin memastikan mereka menerima suntikan vaksin Covid-19 supaya imuniti berkelompok dapat dicapai sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada  program vaksinasi Covid-19 untuk gelandangan dan komuniti lorong Wong Ah Jang di Surau Al- Hidayah Komuniti, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga kini berusaha mengesan golongan remaja berumur di antara 12 dan 17 tahun untuk proses vaksinasi.