PENGURUS Sri Pahang FC, Dollah Salleh akan memangku tugas selaku ketua jurulatih selepas Christophe Gamel tidak lagi bersama skuad itu.
Sumber berkata, jurulatih dari Perancis itu tidak lagi membimbing skuad Tok Gajah atas persetujuan bersama.
“Gamel tidak lagi meneruskan baki saingan Liga Malaysia (Liga M). Tugasan itu akan diambil alih sementara oleh pengurus pasukan (Dollah),” kata sumber itu.
Difahamkan, keputusan itu susulan prestasi hambar dipersembahkan Sri Pahang hingga berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super selepas 11 perlawanan.
Sumber turut memaklumkan bahawa kelab itu sedang mendapatkan khidmat jurulatih baharu untuk menggantikan Gamel.
Antara nama yang disebut-sebut untuk melatih Sri Pahang ialah Fandi Ahmad.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN