Pahang juara hasil laut Pantai Timur

Pahang juara hasil laut Pantai Timur

KUANTAN: Jumlah pendaratan hasil laut di Pahang mencatatkan lebih 91.2 tan yang bersamaan dengan RM704.54 juta sepanjang sepuluh bulan tahun ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Dato’ Sri Mohd Soffi Abd Razak berkata, Pahang merekodkan lebih 101.3 tan pada 2020 dengan subsektor akuakultur mencapai 11.7 tan.

Menurutnya, pengeluaran ikan laut tahun lalu bernilai kira-kira RM950 juta, akuakultur (RM250 juta), perikanan darat/sungai (RM11.5 juta) yang memberi pekerjaan kepada tujuh ribu nelayan, penternak dan usahawan di negeri ini.

Katanya, ikan darat yang terkenal di negeri ini mencatat hasil lebih 618.9 tan dan ia hampir mencapai sasaran menjamin bekalan makanan kepada rakyat negara ini.

“Dengan adanya 1,600 bot termasuk 100 laut dalam, Pahang kini menjadi peneraju industri perikanan di Pantai Timur. 

“Untuk merancakkan lagi industri perikanan di negeri ini, kerajaan menyediakan lebih banyak bantuan disediakan,” katanya pada Program Penyerahan Bantuan Input Perikanan dan Lesen Sampan Khas Negeri Pahang, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar.

Mohd Soffi berkata, 380 nelayan di Pahang kini menerima elaun sara hidup nelayan darat RM250 sebulan manakala 995 nelayan laut di Kuantan, Rompin dan Pekan pula menerima RM300 sebulan. – MOHD IMRAN IZZAD