JERANTUT: Kesenian tradisional Anak Indung adalah satu persembahan yang cukup popular di kalangan masyarakat di Ulu Tembeling setiap kali musim menanam padi pada suatu ketika dahulu.
Namun, persembahan itu semakin hilang kerana kesenian ini tiada pewaris atau pelapis yang ingin mempelajarinya kerana ramai warga muda dan belia berhijrah ke bandar.
Penolong Pengarah, Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang, Mohamad Fahmi Che Mit berkata, pihaknya kini sedang membuat kajian dan penyelidikan kerana kesenian ini didapati hampir pupus,
Katanya, kesenian itu kini hanya dipelopori segelintir warga emas dan ramai di kalangan penggiat sudah uzur dan ada yang meninggal dunia.
“Maklumat dan bahan yang ada berkaitan kesenian itu amat terhad, terbatas dan memerlukan kajian dan penyelidikan terperinci dan menyeluruh. Dalam persembahan Anak Indung terdapat 36 lagu,” katanya.
Sehubungan itu, JKKN Pahang membuat kajian tiga hari di Kampung Bantal dan Kampung Bukit Mat Daling untuk mengumpul maklumat kesenian itu.
Mohamad Fahmi berkata dua tokoh yang masih ada ialah Mahani Mat Petah, 71, dari Kampung Bantal dan Timah Mamat, 83, di Kampung Bukit Mat Daling,
Katanya, kajian cuba mendalami unsur positif mempengaruhi budaya masyarakat setempat itu dan menelusuri cara hidup masyarakat lampau.
Menurutnya, kesenian itu amat kaya dengan kepelbagaian falsafah, seni, budaya, tradisi dan ia perlu didokumentasikan agar tidak hilang ditelan zaman. – MUHAMMAD NAJMIE