Pahang mahu rakyatnya berilmu

Pahang mahu rakyatnya berilmu

JERANTUT: Kerajaan Pahang mengutamakan pendidikan berikutan hendak mewujudkan sumber tenaga berilmu dan pemimpin pelapis bagi jaminan pembangunan masa depan negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Dato’ Nazri Ngah berkata, usaha itu terbukti apabila kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang menyediakan pelbagai bantuan.

Menurutnya, bantuan berkenaan diberikan khusus buat keluarga kurang berkemampuan bagi menggelak anak mereka tercicir dalam mendapatkan pendidikan 

“Yayasan Pahang membelanjakan RM1.38 billion yang memberi manfaat kepada 1.6 juta rakyat negeri ini, sejak 1983. 

“Daripada jumlah itu, RM586 juta adalah untuk pinjaman pendidikan, RM476 juta untuk biasiswa manakala RM317 juta untuk program pendidikan, sukan, kebudayaan, kemasyarakatan dan keagamaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyampaian Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) peringkat Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar di Dewan Mat Kilau, hari ini. 

Sekurang-kurangnya 1,640 murid dan pelajar di DUN Pulau Tawar menerima biasiswa Yayasan Pahang. 

Katanya, biasiswa itu diharap menjadi pemangkin kepada murid dan pelajar untuk menjadi insan hebat, berilmu serta berkemahiran tinggi dunia dan akhirat. – MUHAMMAD NAJMIE