Pahang mahu semua warganya divaksin

Pahang mahu semua warganya divaksin

Oleh Husin Ibrahim

fikrahpahang@gmail.com 

KUANTAN: Kerajaan Pahang mengharapkan setiap penduduk berusaha mendaftarkan diri bagi proses vaksinasi Covid-19 dalam usaha negeri itu mencapai seratus peratus imuniti kelompok.

Bagaimanapun, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata usaha itu perlu mendapat sokongan padu semua peringkat masyarakat, terutama ibu bapa, ketua keluarga dan pemimpin setempat. 

Wan Rosdy berkata, warga Pahang perlu berusaha dan mencari jalan untuk mendapatkan juga vaksin sekiranya tercicir atau masih menunggu giliran untuk suntikan vaksin pertama atau yang kedua.  

“Sekarang dah banyak sumber untuk mendapatkan vaksin. Oleh itu, berusahalah ke arah itu,” kata Wan Rosdy selepas membuat lawatan rasmi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk pelajar tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, di sini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahangi, Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Abdul Rahim Muda; Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus dan Pengarah Pelajaran, Tuan Mohammad Rosli Abdul Rahman, turut sama dalam lawatan itu. 

Lebih 400 pelajar dari beberapa sekolah menerima suntikan vaksin dos pertama dan dijangka lebih 300 rakan seusia mereka akan menerimanya di PPV yang sama, esok. 

Mereka adalah sebahagian daripada 173,000 pelajar di Pahang yang akan menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Wan Rosdy berkata, belia Orang Asli yang sudah berusia melebihi 12 tahun turut akan diselitkan dalam program vaksinasi untuk pelajar disebabkan jarak kediaman mereka yang jauh dari bandar.

Wan Rosdy berkata, sasaran proses vaksinasi berikutnya adalah di kawasan FELDA iaitu membabitkan peneroka dan pekerja ladang.