PEKAN: Lebih dua ratus lima puluh peserta terbabit dalam aktiviti dua hari menanam kira-kira tiga ratus pokok balak sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Tasik Chini, dekat sini, bermula hari ini.
Gotong-royong itu membabitkan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), belia Kampung Seri Makmur, pelatih Majlis Belia Negara (MBN) Pekan, penuntut Kolej Komuniti Pekan dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gambang.
Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur I) JPNP, Nurfazliza Kamarulbahrin, berkata majlis perasmian akan disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, esok.
Katanya, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Dato’ Indera Mohd Ridza Awang dan Pengarah JPNP, Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, dijangka turut serta. – MOHD IMRAN IZZAD