Pahang masuk ‘kelab 1 bilion’

Pahang masuk ‘kelab 1 bilion’

KUANTAN: Pahang kini menyertai ‘kelab 1 bilion’ apabila angka terkini hasil negeri mencapai RM1.02 bilion, melebihi sasaran RM1 bilion yang diletakkan sebelum ini.

Lebih membanggakan, pencapaian memberangsangkan itu diperoleh tatkala 2022 masih belum menutup tirainya.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ini juga membolehkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan lebih besar kepada rakyat yang akan diumumkannya pada pembentangan Belanjawan Pahang 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, 7 Oktober depan.

Beliau berkata, antaranya ialah membabitkan pembayaran bonus untuk penjawat awam yang jauh lebih baik berbanding tahun ini.

“Alhamdulillah, angka terkini hasil Pahang sudah mencecah RM1.02 bilion, bermakna kita sudah menyertai ‘kelab 1 bilion’ bersama-sama dengan Johor dan Selangor.

“Kita juga mencapainya dengan cara yang tidak membebankan rakyat, sebaliknya mengurangkan ketirisan dan kebocoran,” katanya dalam ucaptama sebelum menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (Pahang Skills) kali ke-11 di Dewan Utama Pahang Skills di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Pahang Skills, Dato’ Mas’ut Awang Samah.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga mengambil sikap tidak mahu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan dan ia menjadi motivasi sehingga hasil RM1 bilion itu dicapai lebih cepat daripada sasaran.

“Tempoh 22 bulan (ketika pemerintahan Pakatan Harapan) mengajar saya untuk tidak bergantung kepada Kerajaan Pusat.

“Syukur ke hadrat Ilahi apabila usaha yang saya dan rakan-rakan EXCO serta semua Ahli DUN (ADUN) Barisan Nasional (BN) membuahkan hasil yang diterjemahkan menerusi pencapaian memperoleh hasil RM1 bilion ini,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN