Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Seramai 605,745 rakyat Pahang sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), sehingga 14 Jun 2021.
Melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula sejak Mac lalu, Kerajaan Pahang menyasarkan 1,231,800 rakyat mendaftar dan kini merekodkan 51.5 peratus pendaftaran.

Menurut statistik JKJAV, sehingga semalam, 149,907 rakyat Pahang sudah menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pahang.
“Lima puluh tiga PPV disediakan di Pahang dan sehingga 14 Jun, seramai 149,907 orang sudah divaksin,” menurut JKJAV, hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail meminta rakyat Pahang yang belum mendaftar untuk menerima vaksin supaya berbuat demikian menerusi aplikasi MySejahtera.
“Marilah kita bersama-sama menjayakan matlamat ini agar usaha kita dalam membendung seterusnya mengatasi ancaman penularan wabak pandemik COVID-19 berjaya,” kata Wan Rosdy.