Pahang minta pertimbang lokasi pelancongan lain turut dibuka

Pahang minta pertimbang lokasi pelancongan lain turut dibuka

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Kerajaan Pahang mencadangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempertimbangkan pembukaan beberapa lokasi pelancongan lain di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata lokasi pelancongan di Pahang sudah bersedia menerima tetamu.

“Antara lokasi pelancongan itu yang sudah mencapai imuniti kelompok antara 95 hingga 100 peratus ialah Taman Negara dan Kuala Tahan di Jerantut; Janda Baik, Bentong; Bukit Fraser, Raub; Kuala Gandah, Temerloh, Taman Negeri, Rompin dan Cameron Highlands,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd  Sharkar berkata demikian ketika diminta mengulas tiga lokasi baharu pelancongan iaitu Pulau Tioman, Genting Highlands di Pahang dan Melaka yang bakal dibuka kepada pelancong bermula 1 Oktober ini.

Dengan pengumuman itu juga, Kerajaan Pahang menyambut baik dan berterima kasih kepada Kerajaan Pusat yang membenarkan pembukaan lokasi pelancongan Pulau Tioman dan Genting Highlands.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri dipetik sebagai berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Menteri Kuartet. 

“Keputusan itu diambil selepas melihat perkembangan positif Projek Rintis Gelembung Pelancongan di Pulau Langkawi,” kata Nancy.