KUANTAN : Kerajaan Pahang mula menghantar bantuan fasa pertama keperluan mangsa banjir di Terengganu, hari ini.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sabariah Saidan, berkata penghantaran membabitkan seribu unit kit bencana, tikar, selimut, kain batik, pelikat, lampin pakai buang dan peralatan kebersihan diri.
“Semua barangan akan dihantar ke Kemaman. Kerajaan Terengganu akan menguruskan pengagihan kepada penduduk terjejas.
“Barangan ini dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM150,000,” katanya kepada media selepas pelancaran misi bantuan itu bersama Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan di perkarangan depoh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.
Turut hadir Pengarah JKM Pahang, Dato’ Zulkhairi Zainol Abidin.
Beliau berkata, penghantaran kedua dan seterusnya akan dilakukan jika keadaan banjir bertambah buruk sama ada untuk mangsa banjir di Terengganu atau negeri lain.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, Kerajaan Pahang juga bercadang untuk menghantar misi pasca banjir untuk membantu kerja pembersihan kediaman penduduk terjejas banjir di negeri berkenaan. – KHALEEF FITRI