Kuantan 13 Mac 2024. (FIKRAH PAHANG) — Kerajaan Negeri Pahang menafikan sekeras-kerasnya berlaku pengeluaran bahan nadir bumi oksida secara haram di kawasan hutan simpan di daerah Lipis seperti yang dinyatakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika menjawab soalan dari Ahli Parlimen Ipoh Utara, Lee Chuan How di Parlimen semalam.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenyataan Nik Nazmi tidak tepat dan menjejaskan nama baik negeri ini yang begitu tegas melaksana penguatkuasaan membendung aktiviti pencerobohan tanah haram sejak lima tahun lalu.
“Saya ingin nyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah kurang tepat, di mana tiada sebarang aktiviti pengeluaran bahan nadir bumi di daerah Lipis meskipun terdapat cubaan untuk melakukan aktiviti melombong bahan tersebut,”katanya menerusi kenyataan rasmi di Facebooknya.
Katanya lagi, hasil maklumat dan initipan yang dilakukan oleh Pasukan Elit Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 20 Mac tahun lalu telah mengesan dan menjumpai satu lokasi yang cuba dijadikan kawasan lombong nadir bumi berdasarkan peralatan yang ditemui dan susulan penemuan itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Negeri Pahang telah menjalankan pemeriksaan tapak di lokasi itu dan hasil siasatan tiada aktiviti pengeluaran dikesan dan semua peralatan tersebut telah dirampas pihak berkuasa.
Menurut Wan Rosdy, sejak penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang pada 9 Oktober 2019, sebanyak 137 kes pencerobohan tanah Kerajaan Negeri telah berjaya diselesaikan dengan 129 kes telah dikenakan kompaun dan 8 kes lagi telah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman.
Kerajaan Negeri juga akan terus memastikan tiada lagi aktiviti penerokaan tanah secara haram yang berlaku di Negeri Pahang pada masa akan datang.
Oleh: Kabhi Ismail