MISI pasukan hoki lelaki dan wanita Pahang untuk bergelar juara tidak kesampaian apabila tewas kepada lawan masing-masing pada aksi final Kejohanan Hoki TNB Piala Tun Abdul Razak ke-59 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Skuad lelaki tewas 1-2, kepada juara bertahan, Perak, manakala wanita Pahang pula tunduk 0-1, di tangan Kuala Lumpur.
Perak yang dibimbing Abdul Sukur Adam membuka tirai jaringan menerusi gol padang Muhammad Akram Hakkam Jamaluddin seawal minit kelima manakala gol penyamaan Pahang diperoleh menerusi gol padang Ismail Abu pada m-37.
Bagaimanapun, sebelum Saiful Shahril Saiful Bahri muncul wira Perak apabila berjaya meledak gol kemenangan pasukan itu selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-44.
Biarpun berjaya mengikat Perak 1-1, namun gol kedua lawan menerusi Saiful Shahril Saiful Bahri pada m-44, memaksa skuad bimbingan Mohd Sufian Mohamad terpaksa melupakan gelaran juara kejohanan.
Melaka menamatkan saingan di tempat ketiga selepas mencatatkan kemenangan 3-0, ke atas Terengganu dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Bagi hoki wanita pula, Pahang selaku juara bertahan gagal untuk menyekat Kuala Lumpur biarpun sudah mempamerkan prestasi terbaik.
Gol kemenangan KL hadir menerusi jaringan padang yang disudahkan Nur Syaza Afiqah Safawi pada minit ke-53. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN