Pahang negeri ‘anchor’ BN, kata Tok Mat Hassan

Pahang negeri ‘anchor’ BN, kata Tok Mat Hassan

KUANTAN: Pahang ibarat ‘anchor’ (sauh) bagi Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka bakal berlangsung tidak lama lagi.

Timbalan Pengerusi merangkap Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ia sudah dibuktikan pada PRU-14 lalu apabila tsunami politik yang menumbangkan kerajaan BN, tidak memberi kesan kepada negeri ini.

“Pahang ini ‘anchor’ dia (BN)… walau ribut, petir dan tsunami (politik) meanda, Pahang masih bertahan.

“Di Pahang ini ada Gunung Tahan, bila banjir dia akan tolak balik (kemenangan) kepada negeri-negeri lain (pada PRU-15), insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis Perjumpaan Timbalan Pengerusi BN bersama Komponen BN Pahang di Dewan Dato’ Sri Manan Ismail di sini, hari ini.

Hadir sama, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepemimpinan BN pusat serta negeri.

Mengulas lanjut, Mohamad yang mesra disapa Tok Mat, berkata beliau berpuas hati dengan persediaan dilakukan BN Pahang dan yakin negeri ini mampu menambah jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15 nanti. 

“Tadi saya sempat melawat bilik operasi pilihan raya atau ‘war room’ BN Pahang dan saya amat lega kerana persiapan dilakukan amat rapi.

“Dalam keadaan sebegini, Pahang mempunyai peluang tinggi untuk tambah (kerusi) di peringkat DUN mahupun Parlimen,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN