Pahang negeri pertama tawar program professional kepada kakitangan awam

Pahang negeri pertama tawar program professional kepada kakitangan awam

KUANTAN: Pahang muncul negeri pertama menawarkan sijil profesional menerusi program profesional pentadbiran awam kepada kakitangan kerajaan negeri yang sedang berkhidmat. 

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata program berkenaan diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti penjawat awam dalam Kerajaan Pahang selain mendedahkan mereka dengan pelbagai ilmu dan kemahiran baharu. 

“Program ini membabitkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dengan kerjasama UnIPSAS (Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah). 

“Idea memperkenalkan program ini datangnya daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang yang amat komited menjadikan sektor awam Pahang berprestasi tinggi, mempunyai integriti dan cekap. 

“Kemudiannya (idea) dibincangkan dan diluluskan mesyuarat EXCO dan kita wujudkan Pusat Latihan Negeri Pahang di UnIPSAS bagi tujuan (menawarkan) kursus ini kepada penjawat awam lantikan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pertama Program Profesional Pentadbiran Awam Pahang di UnIPSAS di sini, hari ini. 

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sei Dr Sallehuddin Ishak dan Naib Canselor UnIPSAS, Prof Madya Dato’ Dr Zawavi Zainal Abidin. 

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, seramai 156 penjawat awam kerajaan Pahang mengikuti program sesi pertama itu dan semua mereka berjaya melengkapkan jadual kursus ditetapkan seterusnya menerima sijil masing-masing hari ini. 

“Semua penjawat awam mengikuti program ini perlu melengkapkan 90 jam bagi waktu pengajian merangkumi tiga komponen iaitu professionalisme, pembinaan modal insan dan pengajian Islam,” jelasnya.

Tambahnya, beliau berharap sekurang-kurangnya 30 peratus daripada penjawat awam yang menerima sijil hari ini dapat meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya. 

Sebelum ini, Sijil profesional penjawat awam selalunya dikeluarkan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan dengan majlis konvokesyen di UnIPSAS hari ini menyaksikan Pahang muncul negeri pertama di negara ini menawarkan sijil profesional kepada kakitangan kerajaan negeri. – HELMY ABD RAHMAN