Pahang negeri pertama umum bubar DUN

Pahang negeri pertama umum bubar DUN

KUANTAN: Pahang menjadi negeri pertama membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lalu. 

Pembubaran itu diumumkan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, selepas mendapat perkenan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya mengumumkan pembubaran ini selepas menghadap KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Rabu lalu.

“Pembubaran ini membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pahang diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya ketika mengumumkan pembubaran itu dalam satu sidang media di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Menurutnya, pembubaran DUN dibuat selepas selesai perbahasan Belanjawan Pahang 2023 dan diluluskan. 

Ditanya mengenai peluang Barisan Nasional (BN) untuk terus menguasai kerajaan Pahang, Wan Rosdy berkata, kalau dikira dengan rekod cemerlang pentadbiran sebelum ini, tidak ada masalah untuk BN terus menerajui Pahang.

“Kita mempunyai rekod yang cemerlang, kutipan hasil melebihi RM1 bilion, pelaburan asing lebih RM50 bilion dan jumlah hutang kerajaan negeri berjaya dikurangkan hingga 71 peratus,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN DAN KHALEEF FITRI