KERAJAAN Pahang melalui Tourism Pahang akan menganjurkan sukan air bertaraf dunia yang dikenali Pahang Ocean Canoe International Challenge, yang dijadualkan pada Ogos depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata acara itu akan menggunakan jajaran persisiran pantai Pahang sepanjang 240 kilometer.
Katanya, ia akan membabitkan pantai Chendor di Kuantan hingga ke pantai Hiburan, Rompin.
“Kita harap dengan penganjuran acara ini akan menarik minat orang ramai peserta dari luar negara kepada sukan air iaitu berkayak.
“Dengan penganjuran sukan ini juga akan memperkenalkan negeri Pahang di mata dunia,” katanya.
Mohd Sharkar berkata, penganjuran Pahang Ocean Canoe International Challenge itu adakah antara aktiviti dalam kalendar pelancongan Pahang tahun ini.
“Kita harap dengan pelbagai program yang akan diadakan sepanjang tahun ini dapat menjadi pemangkin kepada sasaran kira-kira lapan juta pelancong ke Pahang pada 2022,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN