KUANTAN: “Kami doakan semoga Aurora benar-benar jadi kebanggaan Pahang satu hari nanti,” kata Nurul Ashikin Zakariya, 35, dari Perumahan Makmur Hijrah Jaya, Peramu, di sini, hari ini.
Nurul Ashikin tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila puteri ketiganya, Aurora Khadeeja Azreil Shazwan yang lahir 4 Januari lalu, diraikan Kerajaan Pahang yang memberikan saguhati RM200 di bawah Program Anak Kebanggaan Pahang atau ‘Pahang Pride Kid’ 2022.
“Saya dan suami (Azreil Shazwan Yahya, 35) bersyukur dan berterima kasih terutama kepada Kerajaan Pahang, YAB MB (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) dan Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif (Ahli Dewan Undangan Negeri Inderapura) atas ‘hadiah’ ini.
“Kami berdoa dan berharap Aurora dapat menjadi kebanggaan Pahang satu hari nanti,” katanya selepas menerima sumbangan itu daripada Shafik Fauzan yang mewakili Wan Rosdy.
Dalam pembentangan Belanjawan Pahang 2022, Wan Rosdy mengumumkan Kerajaan Pahang bersetuju memberikan saguhati kepada bayi yang lahir di Pahang pada tahun ini.
Pemberian bernilai RM200 untuk setiap kelahiran diberikan dalam dua bentuk iaitu RM100 untuk simpanan bank dan RM100 lagi dalam bentuk barangan penjagaan bayi dan ibu sepanjang berpantang.
Sementara itu, Azreil Shazwan berkata, sumbangan itu amat bermakna dan memberikan kegembiraan berganda untuk dirinya dan keluarga.
“Selepas dapat Aurora yang juga puteri ketiga kami, sumbangan ini bagaikan penambah perisa untuk kegembiraan kami sekeluarga,” kata guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan itu. – HELMY ABD RAHMAN