KUANTAN: Slogan ‘Lihat Bukti Tiada Janji’ yang sering diucapkan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, dizahirkan Kerajaan Pahang menerusi program Pahang Pride Kid 2023, kata Pensyarah Kanan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Wan Emril Nizam Wan Embong.
Beliau berkata, ia dapat dilihat menerusi komitmen Kerajaan Pahang menaikkan jumlah pemberian insentif program berkenaan daripada RM200 kepada RM300 bagi menggalakkan kadar kelahiran di negeri ini.
Katanya, program seumpama itu terbukti mampu menjadi pemangkin kadar kelahiran bayi seperti pelaksanaan Skim Bonus Bayi (Baby Bonus Scheme) di Singapura dan Australia.
“Malah, wawasan dicetuskan oleh YAB Menteri Besar ini selaras dengan agenda ‘Khayra Ummah’ (umat terbaik) yang seterusnya menjadi ‘fixed deposit’ (simpanan tetap) modal insan untuk membangunkan dan memajukan Pahang.
“Seterusnya, baka dan benih generasi Khayra Ummah ini bakal menjadi pemimpin, teknokrat, profesional dan pakar yang akan melakarkan aspirasi masa depan bumi Pahang pada masa depan,” katanya kepada Fikrah Pahang, hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan program itu juga satu bukti iltizam kerajaan negeri menyumbang kembali hasil diperoleh kepada rakyat Pahang selepas mencatatkan peningkatan hasil pendapatan untuk kesejahteraan dan kepentingan bersama.
“Firman Allah SWT: Mafhumnya: Pergilah kamu beramai-ramai, sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) atau dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda serta jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (Surah al-Taubah: 41).
“Kewajiban berjihad termasuk usaha kerajaan negeri meningkatkan taraf hidup rakyat melalui rekayasa sosial dengan mengeluarkan harta, membuktikan bahawa selain daripada wajib membayar zakat, umat Islam juga wajib mengeluarkan hartanya untuk berjihad.
“Antara urusan jihad ialah kerajaan memerlukan perbelanjaan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan negara. Oleh itu, kerajaan boleh mengenakan cukai atas hasil sebagai satu cara memenuhi maslahah berkenaan,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN