KONTINJEN Sukan Malaysia (Sukma) Pahang meletakkan sasaran membawa pulang 33 pingat emas pada temasya Sukma XX MSN 2022, pada 16-24 September ini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata acara sukan menembak, silat, memanah, gimrama dan olahraga antara bakal penyumbang utama pingat emas.
Katanya, berdasarkan sasaran itu juga Pahang meletakkan sasaran lima kedudukan terbaik pada temasya sukan itu.
“Bagi mencapai sasaran itu, saya mahu semua atlet mempamerkan semangat juang yang tinggi dan mengekalkan disiplin sepanjang kejohanan bagi menjaga nama baik negeri.
“Setakat ini, semua atlet sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik bagi mencapai misi meriah 33 emas, 20 perak dan 46 gangsa,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Pahang di Dataran Esplanade, di Kuantan, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain.
Pada Sukma kali ini, Pahang menyenaraikan 450 atlet yang akan menyertai 29 acara.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Wan Rosdy mengumumkan pemberian `duit poket’ berjumlah RM350 kepada setiap atlet Pahang yang bertanding pada temasya sukan itu.
Pada Sukma 2018, kontinjen Pahang berada di kedudukan keenam selepas meraih 33 pingat emas, 20 perak dan 30 gangsa. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN