Pahang sasar jadi hub karavan Asia Pasifik 

Pahang sasar jadi hub karavan Asia Pasifik 

KUANTAN: Kerajaan Pahang mengikat memorandum persefahaman (MoU) dengan Caravaning Industry Association (CIVD) yang berpangkalan di Jerman bagi membangunkan industri pembuatan karavan di negeri ini.

MoU yang dimeterai di pejabat CIVD di Frankfurt, Jerman, pada Ahad, 15 May, merangkumi pelaksanaan pembinaan taman karavan, pusat pemasangan caravan, eko-sistem pembuatan caravan dan pusat bekalan caravan untuk pasaran negara Asia Pasifik.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata MoU itu jika direalisasikan mampu menarik pelaburan kira-kira RM500 juta daripada CIVD dan projek itu dijangka dimulakan pada penghujung tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri akan memberi komitmen sepenuhnya bagi membangunkan industri karavan dan taman caravan itu akan beroperasi di lokasi strategik yang akan dikenal pasti kemudian.

“Kerajaan Pahang juga berkeyakinan penuh bahawa mampu menjadi hub pengeluaran karavan terkemuka di rantau ini.

“Tambahan pula, Pahang sememangnya terkenal dengan industri pemasangan kereta jenama terkemuka dunia seperti Mercedes, Volkswagen dan Isuzu di Taman Perindustrian Automotif, di Pekan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, kerjasama strategik itu turut mendapat sokongan dan pembabitan daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Katanya, MoU itu adalah titik penting bagi Pahang dan Jerman untuk memperkukuh kerjasama ekonomi khususnya membangunkan industri karavan di samping mewujudkan peluang pekerjaan yang menarik dan kompetitif untuk warga tempatan.

“Saya amat berharap usaha ini dapat direalisasikan bukan sahaja bagi membangunkan industri baru di Pahang tetapi juga menyumbang kepada hasrat kita untuk meningkatkan pelaburan asing ke negeri ini.

“Ia sekali gus memastikan sasaran pelaburan kira-kira RM18 bilion untuk Pahang bagi 2022 dapat dicapai,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN