Pahang sasar lahirkan seribu Malim Gunung Perhutanan

Pahang sasar lahirkan seribu Malim Gunung Perhutanan

BENTONG: Sekurang-kurangnya 110 Malim Gunung Perhutanan yang berdaftar di Pahang mengikuti Kursus Malim Gunung Perhutanan di Institute Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, di sini, kelmarin.

Kursus lima hari itu dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang membabitkan latihan teori dan amali.

Pengarah Forest Eco Park dan Hutan Taman Negeri JPSM, Mohd Yussainy Md Yusop berkata, peserta kursus lelaki dan perempuan terdiri daripada golongan belia yang berdaftar sebagai Malim Gunung Perhutanan.

Menurutnya, mereka yang terbabit dengan aktiviti membawa pelancong untuk aktiviti mendaki bukit, gunung dan masuk hutan simpan di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) perlu memiliki lesen sebagai Malim Gunung Perhutanan.

“Sepanjang kursus peserta didedahkan dengan aktiviti seperti menyelamat aras tinggi dan di air termasuk memberi pertolongan cemas serta ikhtiar hidup.

“Peserta juga diajar membaca peta dan penggunaan kompas yang akan digunakan ketika tersesat di dalam hutan,” katanya yang juga ketua jurulatih kursus berkenaan.

Beliau berkata, JPSM komited untuk melahirkan seribu Malim Gunung Perhutanan yang berkemahiran tahun ini. – MOHD IMRAN IZZAD