Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar oleh Mustaffa Kamal
KUANTAN: Kerajaan Pahang menyediakan sebanyak 787 pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai persediaan bagi menempatkan mangsa banjir di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda, berkata ia membabitkan sebanyak 121 PPS di Kuantan, Jerantut (96), Pekan (95), Temerloh (87), Raub (84), Lipis (82), Maran (72), Bera (45), Bentong (40), Rompin (39) dan Cameron Highlands (26).
Katanya, kerajaan negeri bagaimanapun akan cuba mengelakkan daripada menggunakan bangunan sekolah sebagai PPS berikutan musibah banjir dijangka berlaku ketika sesi persekolahan sudah bermula.
“Untuk di Kuantan ini, PPS terbesar adalah di Kompleks Sukpa (Sukan Pahang) dan Wisma Belia yang sebelum ini digunakan sebagai PPV (pusat pemberian vaksin),” katanya kepada Fikrah Pahang di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga menyediakan sebanyak 140 pangkalan hadapan untuk menyimpan bekalan dan keperluan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negeri ini.
“Bagi pangkalan hadapan, paling banyak ialah di Temerloh iaitu sebanyak 34 tempat diikuti Kuantan (18), Jerantut (16), Pekan (14), masing-masing 12 di Rompin dan Lipis; Bera (11), Raub (10) dan dua di Bentong,” katanya.
Baru-baru ini, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan peruntukan sebanyak RM7.5 juta disediakan kerajaan negeri bagi berdepan musibah banjir tahun ini.
Daripada jumlah itu, kerajaan negeri sudahpun membelanjakan sebanyak RM2.5 juta untuk membeli bekalan makanan seberat hampir 200 metrik tan.
Mengulas lanjut, Abd Rahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lepar berkata, pihaknya sudah meminta pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Alam Flora melakukan kerja-kerja pembersihan longkang dan sistem aliran air di beberapa lokasi sering berlaku banjir kilat di daerah ini.
“Di kawasan bandar, kita dah kenal pasti kawasan sering berlaku longkang dan sistem aliran air tersumbat menyebabkan berlaku banjir kilat iaitu di Jalan Lim Hoe Lek dan satu lagi di Kampung Lubuk Puyu.
“Di jalan Lim Hoe Lek ini kita dah minta peruntukan daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM2 juta untuk menaik taraf sistem aliran air dan membesarkan longkang bagi mengelakkan berlaku banjir kilat,” katanya.