Pahang sedia RM35 juta pertingkat kecekapan pengurusan banjir

Pahang sedia RM35 juta pertingkat kecekapan pengurusan banjir

KUANTAN: Kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM35 juta untuk meningkatkan kecekapan pengurusan banjir di negeri itu.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), semalam.

Katanya, antara keputusan dicapai dalam mesyuarat itu ialah pembelian tiga bot amphibia dan sebuah bot hovercraft.

“Peruntukan itu juga membabitkan pembinaan enam Pusat Pemindahan Banjir Kekal, pembinaan helipad (landasan pendaratan helikopter) di Benta, Lipis;  Kampung Rening, Cameron Highlands); bandar Temerloh dan Lanchang, Temerloh dan Chenor, Maran).

“Selain itu, pembelian instrumen sistem amaran awal tanah runtuh di Cameron Highlands dan sistem amaran banjir di Raub serta pembelian bot-bot menyelamat yang akan ditempatkan di Pejabat Penghulu,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, peruntukan terbabit juga akan digunakan untuk pelaksanaan kursus khas pengurusan bencana banjir kepada petugas di peringkat daerah.

“Semua perolehan dan perbelanjaan ini dianggarkan bernilai kira-kira RM35 juta,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri sedang menyelaras beberapa lagi tindakan perolehan dan perbelanjaan bagi memastikan pengurusan bencana banjir sentiasa lancar dan efisien.

Namun, katanya, pendekatan diambil adalah berbeza berdasarkan keperluan dan permintaan di setiap daerah.

“Saya berharap dengan perolehan dan perbelanjaan ini, semua pihak khususnya pasukan penyelamat dan petugas barisan hadapan sentiasa bersiap siaga bagi berdepan sebarang situasi bencana yang berlaku pada bila-bila masa terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

“Bagi saya, pasukan penyelamat dan petugas barisan hadapan sememangnya perlu dibekalkan dengan kelengkapan yang bersesuaian serta latihan dan ilmu yang sepatutnya kerana mereka terdedah kepada risiko besar ketika berlakunya sesuatu bencana,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha menambah baik keperluan dan kelengkapan sedia ada yang dibekalkan kepada petugas barisan hadapan.

“Saya berdoa agar negeri Pahang dan rakyatnya sentiasa dilindungi oleh Allah SWT daripada sebarang musibah, wabak penyakit dan malapetaka,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN