Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Bagi mengukuhkan lagi kualiti pengurusan aduan berkaitan integriti dalam urusan penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini, Kerajaan Pahang mengambil keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Ombudsman Negeri Pahang (JONP).
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, JONP dipengerusikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak manakala keahliannya terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri; Penasihat Undang-undang Negeri; Pengarah, Jabatan Audit Negara Negeri; Pengarah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri; Ketua, Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri; dan, Ketua, Unit Audit Dalam, Pejabat SUK Negeri.
“Unit Integriti, Pejabat SUK Negeri ialah urusetia kepada JONP dan jawatankuasa ini akan mengadakan mesyuaratnya secara berkala bagi menangani isu-isu di bawah bidang kuasanya.
“JONP mengikut model digunapakai Kerajaan Sarawak, yang menjadi perintis dalam kalangan negeri-negeri manakala Kerajaan Persekutuan memperkenal dan melaksanakannya,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini
Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan pertama kali dicadangkan kepada Kerajaan Pahang oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri pada tahun lalu.
“Sejak itu, usaha untuk merealisasikannya dilakukan termasuk kajian mendalam oleh pegawai-pegawai Unit Integriti, Pejabat SUK Negeri,” katanya.
“Antara peranan dan tanggungjawab JONP ialah untuk meneliti aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi membabitkan perkhidmatan awam di Pahang yang tidak dapat diselesaikan di peringkat jabatan dan agensi.
“JONP juga berperanan melantik pasukan siasatan dalaman (PSD) bagi aduan-aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang memerlukan siasatan terperinci,” katanya.
Tambahnya, JONP juga meneliti hasil siasatan atau maklum balas aduan dan membuat keputusan berkaitan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang melibatkan perkhidmatan awam negeri Pahang.
“Selain itu, jawatankuasa ini mempertimbangkan dan meluluskan sebarang syor dan cadangan penambahbaikan pengurusan aduan salah laku berkaitan integriti penjawat awam negeri,” katanya.
Menyentuh skop dan bidang kuasa JONP pula, beliau berkata, ia bertanggungjawab meneliti aduan-aduan berkaitan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang tidak dapat diselesaikan di peringkat jabatan dan agensi.
“Unit Integriti, Pejabat SUK Negeri akan menerima dan melakukan saringan terhadap semua aduan melalui Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) sebelum dibawa ke peringkat JONP.
“Aduan-aduan yang akan diambil tindakan di bawah JONP antara lainnya ialah penyalahgunaan kuasa membabitkan penjawat awam, kelewatan atau tiada tindakan terhadap sesuatu permohonan di jabatan dan agensi,” katanya.
Pun begitu, katanya adalah di luar bidang kuasa JONP untuk bertindak ke atas aduan-aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan berkaitan jika ia sudah dirujuk kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-kira (PAC) Negeri, Mahkamah, MMK Negeri, Lembaga Rayuan Negeri yang diurusetiakan oleh PLANMalaysia@Pahang, dan Biro Pengaduan Awam (BPA).
“Dengan adanya JONP, diharapkan sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lebih berintegriti dan berkesan, demi kebaikan semua khususnya rakyat yang menerima manfaat langsung dan tidak langsung daripadanya, Insya-Allah,” katanya.