KUANTAN: Kerajaan Pahang sentiasa menyokong dan komited dengan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang menitikberatkan setiap projek pembangunan di negeri ini dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selari dengan sokongan itu, kerajaan negeri sudah pun mewartakan 7,611.44 hektar hutan sebagai Hutan Simpan Kekal dan 780.94 hektar sebagai hutan tadahan air pada 2021.
Katanya, usaha itu bagi membaiki fungsi dan peranan koridor ekologi Central Forest Spine sebagai kawasan berkepentingan tadahan air serta flora dan fauna.
“Selain itu, Kerajaan Pahang juga bersetuju mewartakan tanah dikenal pasti bersempadan dengan Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal yang dikenali sebagai Sempadan Hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perhutanan Malaysia (Malaysian Forestry Conference – MFC) di The Zenith Hotel, di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Indera Mohd Ridza Awang.
Beliau berkata, Pahang kini mempunyai sekurang-kurangnya 2.04 juta kawasan berhutan berbanding keluasan negeri iaitu 3.6 juta hektar.
Wan Rosdy berkata, Pahang telah dinobatkan sebagai penyumbang terbesar kawasan berhutan dalam kalangan negeri di Semenanjung. – MOHD IMRAN IZZAD.