Pahang sokong pembukaan sempadan negara

Pahang sokong pembukaan sempadan negara

KUANTAN: Keputusan kerajaan untuk membuka sempadan negara mulai 1 April ini adalah satu langkah tepat selepas negara terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata beliau yakin pembukaan sempadan itu akan memulihkan kembali pelancongan di Pahang.

Katanya, kerajaan negeri bersyukur dan menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, kerana keputusan itu bakal membantu untuk memulihkan industri pelancongan.

“Apatah lagi Pahang sudah memperkenalkan tema baharu pelancongan iaitu ‘This Is Pahang 2022 – Unlimited’ yang dijangka merancakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19 sejak dua tahun lalu.

“Oleh itu, kita perlu bekerja keras untuk memastikan destinasi pelancongan Pahang menjadi pilihan utama pelancong,” katanya.

Dengan pembukaan sempadan itu, beberapa acara pelancongan yang bertaraf antarabangsa dijangka kembali di Pahang seperti Pertandingan Mengenal Burung dan Cabaran Royal Billfish.

Selain itu, kerajaan negeri melalui Tourism Pahang akan menganjurkan sukan air bertaraf dunia dikenali Pahang Ocean Canoe International Challenge yang dijadualkan pada Ogos depan.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN