Pahang tak lupa bantu pemandu pelancong dan pemandu bot pelancong

Pahang tak lupa bantu pemandu pelancong dan pemandu bot pelancong

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

PEKAN: Nasib 742 pemandu pelancong dan pemandu bot pelancong di negeri ini yang terjejas sumber pendapatan akibat penularan Covid-19, mendapat perhatian Kerajaan Pahang.

Setakat ini, Kerajaan Pahang memperuntukkan RM74,200 kepada golongan berkenaan melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid-19.

Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali, berkata sumbangan kerajaan negeri itu diharap meringankan beban penggiat pelancongan yang terkesan dengan penularan pandemik berkenaan.

“BPP Covid-19 Fasa 2 ini secara keseluruhannya membabitkan 742 penerima iaitu pemandu pelancong dan pemandu bot pelancong yang aktif dalam aktiviti pelancongan di Pahang.

“Bantuan ini disalurkan secara berperingkat di setiap daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan BPP Covid-19 kepada 23 pemandu bot pelancong Pekan di Kompleks Pelancongan Kuala Chini, di sini semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkipli; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim .