Pahang tarik pelaburan RM9 bilion 

Pahang tarik pelaburan RM9 bilion 

KUALA LUMPUR: Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang dan Casa Inspirasi Sdn Bhd, hari ini memeterai memorandom perjanjian (MoA) bagi Projek Pembangunan Perumahan, Pelancongan dan Pusat Komersial di Genting Permai, Genting Highlands dengan nilai pelaburan kasar (GDV) bernilai RM9 bilion.

MoA itu yang ditandatangani di Double Tree Hotel di sini, adalah membabitkan projek pembangunan bercampur meliputi pangsapuri servis, rumah teres dua tingkat, rumah bandar, banglo dan institusi pendidikan serta kemudahan awam di Genting Permai.

Majlis itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak yang mewakili Kerajaan Pahang manakala Casa Inspirasi Sdn Bhd pula diwakili oleh Dato’ Sri Mejar Kehormat Lim Hock Sing.

“Alhamdulillah, hari ini satu lagi pelaburan berjaya dimeterai sempena MoA bagi Projek Pembangunan Perumahan, Pelancongan dan Pusat Komersial di Genting Permai antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang dan Casa Inspirasi.

“Dijangkakan, projek ini membabitkan GDV melebihi RM9 bilion,” kata YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Pada majlis sama, Casa Inspirasi turut menyerahkan replika cek bernilai RM4.89 juta kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang sebagai bayaran komitmen syarikat kepada Kerajaan Pahang.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, perjanjian yang dimeterai itu diharapkan dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan mendatangkan manfaat buat negeri dan rakyat Pahang.

Selain itu, katanya, beliau yakin Kerajaan Pahang mampu menarik pelaburan berjumlah RM18 bilion pada tahun ini, seperti disasarkan.

“Tahun lalu, Pahang berjaya menarik masuk pelaburan bernilai RM10.5 bilion, sehingga membolehkan kita berada di kedudukan ketiga negeri terbaik di Malaysia berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” kata Wan Rosdy. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN