Pahang tubuh Lembaga Durian Pahang

Pahang tubuh Lembaga Durian Pahang

LIPIS: Pahang akan menubuhkan Lembaga Durian Pahang (LDP) sebagai langkah untuk tingkatkan hasil pengeluaran, jaminan kualiti dan harga durian dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abd Razak berkata, penubuhan LDP antara lain untuk membantu pekebun ‘raja buah’ itu mengenai kemahiran pengurusan tanaman bagi meningkatkan hasil.

“Pengeluaran buah durian kahwin dan kampung dari Pahang memang terkenal di seluruh negara kerana mutunya, sehingga peniaga durian di Lembah Kelang mengatakan ‘ini durian Pahang’ untuk menarik pembeli.

“Kita sedang mencari kaedah untuk memastikan durian yang dihasilkan di negeri ini  mencapai kualiti yang diinginkan dan penggemarnya akan tahu berdasarkan kriterianya,” katanya.

Mohd Soffi berkata, penubuhan LDP akan diteliti terlebih dahulu oleh penasihat undang-undang negeri dan pandangan teknikal daripada Jabatan Pertanian Pahang dan pemain industri perkebunan durian di negeri ini.

“Perkara ini pada amnya sudah dipersetujui oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’  Sri Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya selepas merasmikan Program Penyerahan Insentif Permula Nurseri Durian dan Model Sistem Pengairan Durian yang disertai 60 penduduk mukim Budu dan mukim Tanjung Besar di Lubuk Hik, Budu, dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian  Pahang, Muhd Rizal Baharom.

Sempena majlis itu, Mohd Soffi menyaksikan ikrar dan tanda tangan wakil pekebun Kampung Lubuk Hik dan Kampung Terap untuk melaksanakan projek durian premium kampung dan menyampaikan bantuan peralatan pertanian daripada Jabatan Pertanian Pahang.

Mohd. Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta berkata, Jabatan Pertanian kini memberi fokus kepada empat daerah utama pengeluaran durian di Pahang iaitu  Raub, Lipis, Jerantut dan Bentong. – MUHAMMAD NAJMIE