PahangGo tawar perkhidmatan carian hak milik tanah pertama di Malaysia

PahangGo tawar perkhidmatan carian hak milik tanah pertama di Malaysia

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Rakyat Pahang kini boleh membeli carian rasmi atau persendirian bagi hak milik tanah secara online menerusi aplikasi PahangGo.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata perkhidmatan yang pertama seumpamanya membabitkan sistem pentadbiran tanah di Malaysia itu diwujudkan hasil kerjasama antara Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang dan PahangGo Sdn Bhd.

“Kerjasama ini berjaya membangunkan modul tempahan carian hakmilik tanah melalui aplikasi PahangGo dan perkhidmatan ini boleh digunakan mulai hari ini.

“Buat masa ini, perkhidmatan ini masih terhad kepada pembelian carian rasmi atau persendirian membabitkan hak milik PTG namun akan diperluaskan meliputi hak milik Pentadbir Tanah Daerah sebelum penghujung tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Beliau berkata, perkhidmatan berkenaan bukan sahaja antara transformasi penyampaian perkhidmatan awam dalam pentadbiran tanah, malah satu pendekatan alternatif dalam penawaran perkhidmatan tanpa pelanggan perlu hadir secara fizikal ke pejabat. 

“Secara tidak langsung, ia sebahagian usaha menyahut saranan kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19 terutamanya apabila semakin banyak sektor ekonomi dibuka kelak.

“Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin ke arah mengembangkan ekonomi digital di Pahang, selain membantu mengurangkan kos perniagaan termasuk kos perjalanan untuk mendapatkan carian hakmilik tanah,” katanya.

Menurutnya, kadar bayaran masih sama sebagaimana diperuntukkan di bawah Kaedah–kaedah Tanah Pahang 1992 iaitu RM100 untuk carian rasmi dan RM50 bagi carian persendirian. 

“Kerajaan Negeri berharap inisiatif ini menjadi pendorong kepada jabatan dan agensi kerajaan lain untuk turut melaksanakan penambahbaikan kepada keseluruhan sistem penyampaian perkhidmatan awam kita, Insya-Allah,” katanya.Â