Pak Long Mail cakap Melayu di pentas PBB, New York

Pak Long Mail cakap Melayu di pentas PBB, New York

NEW YORK: Enam puluh lima tahun selepas seorang pemimpin negara bernama Ismail mencipta sejarah apabila muncul mewakili negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini, seorang lagi dengan nama sama muncul melakar satu lagi sejarah.

Pada September 1957, tidak sampai sebulan selepas negara mencapai kemerdekaan, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman adalah duta pertama Malaysia ke Amerika Syarikat dan PBB, muncul di Perhimpunan Agung PBB untuk menyampaikan ucapan dengan berbaju Melayu lengkap dengan keris.

Beliau kemudian menjadi YAB Timbalan Perdana Menteri dari September 1970 hingga Ogos 1973.

Hari ini, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mencipta satu lagi sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan diplomatik terbesar itu.

Beliau yang tampil segak berbaju Melayu hitam mencuri tumpuan delegasi lain sebaik melangkah masuk ke dewan utama, manakala seluruh delegasi negara termasuk Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut memakai baju kebangsaan dan batik Malaysia.

Perdana Menteri mengakhiri ucapan berdurasi 20 minit itu dengan ayat ‘United we stand, divided we fall’, ‘selagi kita bersatu padu dan teguh bersama dalam memikul beban ini, saya pasti kita akan berjaya’.

Beliau turut mengajak komuniti antarabangsa bekerjasama dengan mengamalkan semangat Keluarga Dunia, dalam menghadapi cabaran global. – BERNAMA