Pakcik Rosdi senyum dapat kad kesihatan

Pakcik Rosdi senyum dapat kad kesihatan

KUANTAN: “Pakcik gembira dan bersyukur kerana menerima kad kesihatan,” kata Rosdi Mohjan, 89, dari Kampung Tiram, di sini.

Warga emas itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian Kad Kesihatan Warga Emas di  Dewan Badminton Cenderawasih Timur, di sini semalam.

Rosdi berkata, kad kesihatan bernilai RM500 itu begitu bermakna terutama membantu sekiranya mendapatkan rawatan di klinik swasta.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri terutama YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) di atas keprihatinan dalam kalangan warga emas daripada segi kebajikan.Kad ini juga membantu dalam meringankan beban kewangan,” katanya.

Semalam, sekurang-kurangnya 450 warga emas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu menerima Kad Kesihatan Warga Emas Pahang.

Kad itu disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN