Panjat Cameron Highlands tanam pokok

Panjat Cameron Highlands tanam pokok

CAMERON HIGHLANDS: Strategi membanyakkan pokok di kawasan tanah tinggi adalah usaha serius kerajaan negeri menangani kesan perubahan iklim, mengurangkan risiko bencana alam.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ Ramli Mohd Nor, berkata inisiatif itu kini menjadi antara agenda buat Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) bagi menyatakan sokongan terhadap Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 juta pokok. 

“Ini direalisasikan menerusi usaha 82 kakitangan Ibu Pejabat AmanahRaya dan Jabatan Perhutanan Cameron Highlands yang menyertai projek menanam 101 pokok pada ketinggian 1,800 meter dari aras laut, di Hutan Simpan Ulu Bertam,” katanya. . 

Beliau yang juga Pengerusi AmanahRaya berkata demikian kepada media di Hutan Simpan Ulu Bertam, Tanah Rata, di sini, semalam. 

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan, Jabatan Perhutanan Pahang, Rosilan Said; Pegawai Perhutanan Daerah Cameron Highlands, Arifhadi Johari Affandi dan Penolong Pengarah Silvikultur Pahang Barat, Wan Ghazali Wan Ali. 

“Selain pemilihan 101 anak pokok warisan hutan untuk ditanam di kawasan kira-kira satu hektar itu, projek itu juga sebagai simbolik usia penubuhan Amanah Raya selaku pemegang amanah utama di negara ini,” katanya. – AIN HUDA AMIR