Oleh Husin Ibrahim
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PEKAN: Kerajaan Negeri Pahang mengutamakan kawasan pantai yang terhakis teruk atau dalam kategori tahap satu untuk ditambak dengan pasir sebagai langkah memulihara dan membaik pulih pantai terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato’ SriĀ Mohd Sharkar Shamsudin berkata, 10 lokasi telah dikenal pasti sebagai terjejas teruk akibat hakisan di sepanjang 271 kilometer pantai yang bermula dari Cherating hingga Rompin.
Menurutnya, proses inventori akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang dengan melakukan kajian lebih mendalam dan menyeluruh termasuk jenis pasir yang sesuai untuk digunakan bagi menambak pantai terjejas.
Beliau berkata, proses penambakan pasir ini akan disegerakan di kawasan pantai yang mempunyai aktiviti seperti pelancongan dan penempatan.
Kata, ini kerana ia bukan sahaja bernilai komersial malah penting untuk melindungi keselamatan penduduk.
“Dari aspek pelancongan ia penting kerana mempunyai nilai tambah untuk penjanaan kegiatan ekonomi setempat.
“Begitu juga sekiranya kawasan tersebut ada penduduk maka kepentingan mengenai kebajikan dan hal ehwal kehidupan mereka yang terdiri daripada nelayan misalnya yang sumber hasil eknomi mereka adalah aktiviti di laut dan di pesisiran pantai,” katanya selepas meninjau kesan hakisan di kawasan pelancongan di Kampong Tanjung Batu, di sini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang, Ir. Mohd Noor Bidin; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Mohd Sani Daud dan Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Dato’ Ishak Mokhtar.
Mohd Sharkar berkata, sepanjang tahun lalu, hampir empat juta pelancong domestik mengunjungi pantai di Pahang ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan sekali gus menunjukkan kawasan pantai di negeri ini adalah popular.
“Sebab itu kita perlu segerakan kerja pemulihan pantai ini demi untuk kepentingan bersama.
“Kawasan yang dimaksudkan termasuk Teluk Cempedak, Cherating, Nenasi serta kawasan Tanjung Batu ini di mana sebuah chalet dan persekitarannya yang popular telah musnah akibat hakisan laut dan kawasan terhakis sejauh kira-kira 100 meter dari daratan,” katanya.
Menurut Mohd Sharkar, kawasan terhakis yang dikategori tahap kedua dan ketiga akan juga dibaik pulih dalam fasa berikutnya.