Parlimen bubar hari ini

Parlimen bubar hari ini

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau membuat pengumuman itu melalui perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dam media sosial jam 3 petang tadi.  

Pengumuman pembubaran parlimen itu membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh 60 hari dari hari ini.

“Dengan ini dimaklumkan, bahawa tengah hari semalam, saya telah menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14. 

“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke- 14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022,” katanya dalam perutusan itu. 

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengesyorkan semua ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing- masing pada tarikh sama dengan PRU Peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri memutuskan tidak membubarkan DUN masing-masing. 

“Ia (pembubaran DUN) wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos. 

“Sementara itu, penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN