KUANTAN: Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota semalam sebulat suara mahu UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) untuk bertanding kerusi Parlimen Indera Mahkota dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Bahagian berkenaan juga memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada PRU-15.
Selain itu, usul mendesak kerajaan Persekutuan supaya membayar wang ihsan atau royalti minyak kepada kerajaan negeri, turut diluluskan dalam mesyuarat berkenaan.
Terdahulu, dalam ucapan perasmian semalam, Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid, berkata pihaknya sudah menhantar wakil bagi berbincang dengan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung cadangan meletakkan calon UMNO untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.
“Di Parlimen Indera Mahkota ini, kita hendak calon UMNO bertanding dan dengan Muafakat Nasional (MN) kita yakin menang,” katanya.
Menurutnya, walaupun terdapat beberapa pemimpin UMNO yang diberi jawatan menteri, ia tidak dapat membantu ahli dan orang Melayu secara amnya.
“Malah parti bunga (PPBM) cuba membuli kita… kita di bawah PN (Perikatan Nasional) seolah-olah melukut di tepi gantang sebab itu kita tidak lagi mahu bersama mereka (PPBM) pada PRU-15.
“Kita juga bangga dan nak ucap tahniah kepada Menteri Besar yang berani kata kita tak perlu PPBM untuk bertanding di Pahang,” katanya.
Kerusi Parlimen Indera Mahkota kini diduduki Menteri Komunikasi dan Multimedia dari PPBM, Dato’ Saifuddin Abdullah.
Pada PRU-14, Saifuddin yang ketika itu mewakili PKR, memenangi kerusi berkenaan dengan 28,578 undi, menewaskan calon BN, Dato’ Dr Johan Mat Sah (17,628 undi) dan PAS, Nasrudin Hasan Tantawi (17,515 undi).