Husin Ibrahim
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Suasana aman dan lengang di sebuah lorong di antara dua bangunan antara Jalan Mahkota dan Jalan Besar, di sini, menjadi tempat pencinta seni lukis dan fotografi memeriahkannya dengan mempamerkan hasil karya mereka.
Sekurang-kurangnya antara 10 hingga 15 pelukis, jurugambar dan pemuzik sekitar daerah ini mengambil bahagian dalam pameran diadakan setiap Ahad antara jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari sejak 18 Oktober yang lalu.
Tinjauan mendapati, susunan hasil seni di tepi jalan, dinding bangunan dan kaki lima menarik menarik minat orang ramai termasuk pengguna jalan raya sekitar kawasan itu.
Ditambah pula, lorong ini jarang dilalui kenderaan, apatah lagi pada hari minggu.
Penganjur, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar berkata, tujuan pameran seperti ini diadakan adalah untuk
membuka peluang kepada pengkarya, seni foto dan seni lukis untuk bertemu peminat mereka di samping mengisi masa pada hari minggu.
Syed Azimal Amir berkata, pameran di lorong belakang bangunan ini juga bertujuan mengembangkan hasil karya penggiat seni di Kuantan selain mendekatkan hasil karya mereka kepada pencinta seni fotografi dan lukisan.
“Di samping itu, ia juga membuka peluang kepada mereka yang ingin berjinak dengan bidang ini dan yang pernah ada hasil hasil karya yang boleh diketengahkan, boleh dipamerkan juga di sini,” katanya.
Syed Azimal Amir berkata, pameran ini sering mendapat perhatian pelancong tempatan malah ada yang membelinya sebagai perhiasan.
“Ini juga merupakan platform untuk memperkenalkan artis tempatan,” ujarnya.
Salah seorang pelukis, Zainal
Omar Farid, berkata selain menjual ada juga dalam kalangan mereka sudi mengajar teknik seni lukis dan fotografi secara percuma kepada pengunjung.
Zainal Omar berkata, ianya bukanlah kelas, tapi lebih kepada penerangan secara detail dan jelas tentang asas penghasilan karya lukisan dan fotografi.
“Ada yang terlalu baru mahu berkecimpung atau mahu fokus dalam bidang ini, dan kami mengajar serba sedikit tentang teknik penghasilan karya seni fotografi dan lukisan,” katanya.
Zainal Omar berharap aktiviti yang turut disertai kakitangan swasta dan kerajaan mendapat perhatian pihak berwajib untuk memberi kebenaran khas supaya ianya dapat diteruskan sepanjang hujung minggu.