KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang akan mengadakan program jualan MyRakyat sempena Pasar Tani Khas Pra Ramadan daerah ini, di Pasar Tani Sungai Karang, Sabtu ini.
Empat puluh usahawan terbabit dengan program berkenaan dan kesemuanya dikatakan akan menjual produk yang segar terus dari ladang, bermula kira-kira 7 pagi sehingga 12 tengah hari.
Pengarahnya, Saiful Sadri berkata, daging akan dijual RM34 sekilogram (kg) manakala ayam RM15 seekor dengan berat dua kilogram.
“Objektif program jualan MyRakyat diadakan bagi membantu usahawan meningkatkan peluang pasaran hasil pertanian selepas wabak Covid 19 melanda negara selain meringankan beban pengguna.
“Saya berharap pengguna di daerah ini tidak melepaskan peluang yang disediakan FAMA sebagai persiapan menyambut Ramadan,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD