KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang mencatat jualan RM7.6 juta hasil aktiviti perniagaan di 18 pasar tani, tahun lalu.
Pengarahnya, Saiful Sadri berkata, terdapat lima pasar tani kekal manakala bakinya adalah pasar tani mingguan yang membabitkan lebih seribu usahawantempatan.
Menurutnya, pasar tani kekal terletak di Jerantut, Bera, Jengka, Pekan dan FELDA Chini yang beroperasi di dalam bangunan dan lengkap pelbagai kemudahan lain untuk keselesaan peniaga serta pengguna.
Katanya, pelbagai barangan keperluan harian terdapat di pasar tani seperti makanan, sayuran, ikan, daging dan buah-buahan segar terus dari ladang dengan tawaran harga yang berpatutan.
“Aktiviti jualan di pasar tani agak terjejas sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP). Tapi, kita menjangkakan hasil jualan pasar tani bertambah apabila semua pasar tani seluruh negeri kini dibuka sepenuhnya tahun ini,” katanya dihubungi, di sini.
Beliau berkata, FAMA turut kerjasama jawatankuasa pasar tani untuk mengadakan pelbagai program sepanjang tahun bertujuan menarik lebih ramai lagi pengunjung.
Saiful berkata, sebagai contoh setiap kali Ramadan beberapa pasar tani mengadakan program membuat bubur lambuk, korban, dan jualan Aidilfitri. – MOHD IMRAN IZZAD