PASFA ternak kerbau Australia bermula 2023

PASFA ternak kerbau Australia bermula 2023

KUANTAN: Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) melalui anak syarikatnya, Peladang Eksklusif Sdn Bhd akan memulakan projek ternakan kerbau secara berperingkat bermula 2023.

Kerbau dari Australia seberat di antara 700 dan 800 kilogram itu dijangka memberi sumber pendapatan tambahan kepada PASFA dalam lima tahun akan datang. 

Pengerusi PASFA, Dato’ Zamri Yaakob, berkata kerbau terbabit bakal diternak di ladang persatuan itu di Muadzam Shah, dekat Rompin.

“Ketika ini, hampir 95 peratus pendapatan PASFA adalah dari ladang kelapa sawit. Oleh itu,  kami lihat sektor penternakan mempunyai potensi tinggi untuk menjana pendapatan. 

“Kita akan membawa masuk 120 kerbau Australia. Jumlah keseluruhan (tempahan) dibuat adalah 610 kerbau yang akan dibawa masuk secara berperingkat dalam lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini. 

Zamri berkata, melalui projek ternakan kerbau itu, PASFA dijangka boleh menjana keuntungan sehingga RM800,000 setahun. 

Katanya, seekor kerbau baka dari Australia mampu menghasilkan daging sehingga kira-kira seribu kilogram. 

“Kita harap usaha ini akan dapat menyumbang kepada usaha kerajaan dalam memastikan agenda memperkukuhkan aspek sekuriti makanan negara dapat dijayakan,” katanya. – KHALEEF FITRI