PASIR Pekan FC muncul juara Kejohanan Piala Sultan Pahang (PSP) 2022 edisi pertama selepas menewaskan Semantan Troopers FC 2-1, pada aksi final di Stadium Darul Makmur, hari ini.
Kemenangan itu membolehkan kelab dari Kelantan itu membawa pulang RM20,000 tunai manakala kelab dari Pahang pula menerima RM10,000 selaku naib juara.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah.
Turut hadir menyaksikan aksi final itu ialah YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada perlawanan itu, dua gol Pasir Pekan, masing-masing satu dijaringkan oleh Wan Ahmad Shakir Adli Wan Afendi dan Mohd Bakri Radhi minit ke-42 dan m-76.
Gol tunggal Semantan Troopers pula dijaringkan oleh Mohd Ridzuan Hakim Rozali pada minit ke-80.
Pada kejohanan PSP 2022 edisi pertama itu, lapan pasukan mengesahkan penyertaan sempena memuliakan Ulangtahun Keputeraan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Selain Pasir Pekan dan Semantan Troopers, enam kelab lain ialah KRU FC dari Selangor, Jerantut FC (Pahang), Alam Mahkota FC (Pahang), Yayasan Pahang Maintenance (Pahang), Teleflow FC (Selangor) dan Kerteh FC (Terengganu). – MUHAMMAD IZZ ZAHIN