Pasukan memanah yakin menyerlah di SUKMA 2022

Pasukan memanah yakin menyerlah di SUKMA 2022

PASUKAN memanah Pahang menyasarkan untuk membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan tiga gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Kuala Lumpur, September ini.

Jurulatihnya Mohd Rizaini Pandak Mohd, berkata seramai 16 atlet lelaki dan wanita negeri ini akan membawa cabaran pasukan memanah bertanding dalam acara individu dan berpasukan.

Menurutnya, pada SUKMA Perak 2018, Pahang membawa pulang lima emas dan dua gangsa namun untuk saingan kali ini, pasukannya dijangka berdepan tentangan sengit daripada Selangor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Sasaran emas kita sandarkan dalam acara berpasukan recurve lelaki yang diketuai atlet kebangsaan, Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi, manakala perak membabitkan acara pusingan kelayakan 70 meter recurve.

“Walaupun sasarankita hanya satu emas, dua perak dan tiga gangsa, tidak mustahil kejayaan lebih membanggakan dapat dicapai,” katanya ditemui pada sesi latihan di padang hoki Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di Kuantan, hari ini.

Mohd Rizaini berkata, dua kejohanan memanah kebangsaan tahun ini menjadi pemanas badan buat anak buahnya yang berjaya meraih tiga perak dan lima gangsa.

“Semangat tinggi selain persediaan sepanjang tahun diharapkan menjadi kelebihan kepada atlet memanah Pahang untuk menyerlah pada SUKMA Kuala Lumpur September depan,” katanya yang dibantu penolong jurulatih, Nor Hazliza Mohd Norfizi. – MOHD IMRAN IZZAD