Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com.my
KUANTAN: Hanya berbaki 0.9 peratus bagi mencapai tuntutan vaksinasi penuh 90 peratus penduduk dewasa untuk membolehkan orang ramai merentas negeri.
Justeru, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin meminta orang ramai patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“0.9 peratus sahaja lagi sehingga sempadan negeri dibuka. SOP sedia ada kekal di restoran, rumah ibadat, tempat awam dan lain-lain.
“Tingkatkan penilaian kendiri dengan melaksanakan ujian, lapor, maklum, kuarantin dan dapatkan rawatan (TRIIS),” katanya menerusi ciapan Twitter, hari ini.
Menerusi perkongsian infografik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKJAV), 89.1 peratus atau 21,004,275 populasi dewasa negara ini sudah lengkap vaksinasi manakala 94.6 peratus (24,309,648) menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Pada 22 September lalu, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kelonggaran rentas negeri hanya akan dibenarkan apabila kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini mencapai 90 peratus.