Patuhi SOP Fasa 2 apabila berada di pantai

Patuhi SOP Fasa 2 apabila berada di pantai

Muhammad Izz Zahin 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN:  Warga Kuantan yang mengunjungi pantai di daerah ini diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ditetapkan. 

Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan, pemantauan dan penguatkuasaan khususnya berkaitan SOP dijalankan dari semasa ke semasa. 

“Langkah itu bagi memastikan pematuhan kepada SOP terkini Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh 25 Ogos lalu iaitu hanya membabitkan pengunjung dari daerah yang sama. 

“Ibu bapa yang membawa anak berusia bawah 17 tahun hendaklah telah lengkap vaksin dan melebihi tempoh matang,” menurut kenyataan itu. 

Pada masa sama, MBK menyeru orang ramai yang menjalankan aktiviti perkelahan dan perkhemahan menjaga kebersihan pantai awam. 

Pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal sentiasa diamalkan selaras dengan arahan yang telah ditetapkan oleh MKN.