PAU 2021 berakhir dengan ‘happy ending’, kata Tok Wan

PAU 2021 berakhir dengan ‘happy ending’, kata Tok Wan

KUALA LUMPUR: Ucapan penggulungan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini, memberikan suasana ‘happy ending’ kepada semua perwakilan.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ucapan itu juga memberikan kelegaan kepada perwakilan, lebih-lebih lagi berkaitan lima perkara penting yang disebut dalam ucapannya. 

“Alhamdulillah, PAU 2021 selesai (secara) ‘happy ending’ dengan ucapan PM (Perdana Menteri) tentunya melegakan perwakilan (antaranya) soal gaji minimum… semua prositif, begitu juga ucapan Presiden (Presiden UMNO Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

“Rata-rata perwakilan sangat ‘happy’… gembira kerana PAU kali ini membawa wadah perjuangan agama bangsa dan negara dan dipenghujungnya amat menggembirakan kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan penggulungan PAU 2021 oleh Ismail Sabri di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, beliau secara peribadi amat berpuas hati dengan perjalanan PAU 2021 yang disifatkannya seiring dengan dasar perjuangan kerajaan negeri di bawah pentadbiran beliau.

“Pahang seperti yang kita tahu, mengutamakan kemakmuran ekonomi kesejahteraan rakyat dan kebajikan dan ini sedikit sebanyak ada kaitan dengan apa yg diperjuangkan atau dibahaskan pada PAU 2021 ini,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang. – HELMY ABD RAHMAN