‘Payung’ Muafakat Nasional dah elok sangat dah

‘Payung’ Muafakat Nasional dah elok sangat dah

KUANTAN: Muafakat Nasional (MN) mampu menjadi ‘payung’ untuk menarik semula sokongan masyarakat terutama umat Islam di negara ini seandainya tiada pihak mungkir janji dengan persetujuan yang dicapai sebelum ini.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata permuafakatan itu juga mampu menjadi platform untuk membangunkan kembali negara ini terutama dari aspek sosio-ekonomi dan kestabilan politik.

“Kita (MN) tidak akan gagal kalau kita tak mungkir janji dan kita yakin, seandainya kita teruskan komitmen seperti masa kita bina MN dulu, ia akan menjadi kekuatan kepada rakyat dan negara sekali gus menambah keupayaan untuk kita kembali membangunkan negara sebagaimana dikehendaki rakyat.

“Tetapi jika kita dahulukan kepentingan dan kehendak individu, itu yang membuatkan kita (Umno) rasa sedih. Percayalah, kalau kita mengeratkan dan perkukuhkan MN, rakan kita yang jadi ‘katak’ (melompat parti) dulu, akan kembali menyertai dan taat kepada kita, semua yang keluar dari rumah kita, saya beri contoh PAN (Parti Amanah Negara) pun akan kembali sebab kita kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam program bual bicara maya yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Fikrah Pahang, hari ini.

Turut menyertai sesi bual bicara berkenaan, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pekan, Dato’ Mohamad Nizar Najib.

Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung keputusan Pas yang mengambil keputusan menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka.

Sementara itu, Mohamad Nizar berkata, cabaran Barisan Nasional (BN) dan Umno kini adalah untuk menarik minat golongan pengundi muda bagi memberi sokongan kepada mereka.

“Untuk anak muda, mereka melihat apa tawaran baru yang boleh dilakukan parti politik untuk sekarang dan masa depan… walaupun BN dan Umno banyak berjasa, mereka tidak melihat sejarah sebaliknya lebih berminat dengan manfaat yang boleh mereka dapat sekarang.

“Untuk itu, kita (BN/Umno) perlu memberi jaminan untuk memperbanyakkan program untuk anak muda terutama dalam pendidikan dengan memberi peluang untuk mereka mengikuti kursus yang mampu menjanjikan pekerjaan bergaji tinggi sesuai dengan teknologi kini, contohnya saintis dan penganalisis data atau pengaturcara.

“Kita juga boleh membuka peluang untuk anak muda menjadi penyedia kandungan contohnya ‘youtuber’, pengurus akau instagram atau berkecimpung dalam ‘e-sports’,” katanya.-HELMY ABDUL RAHMAN